Kaitan Fahaman Quranisme (Quranists) dan Liberalisme (Bag. 1) oleh Humaira Al-Fawzaniyyah

Liberalisme merupakan falsafah yang terpenting dalam mencorakkan peradaban Barat pada hari ini. Perabadan Barat tidak dapat difahami tanpa melihat falsafah-falsafah yang membentuk dan membinanya seperti sekularisme, liberalisme dan modenisme, Sejak awal kemunculan falsafah Barat, para pemikir dan ahli falsafah berusaha untuk menentukan peranan akal fikiran. Pada mulanya falsafah Plato telah menggariskan bahawa knowledge is perception (ilmu adalah persepsi) . Paradigma Plato juga telah meletakkan manusia dan akalnya sebagai measure of all things (pengukur segala sesuatu). Kemudian falsafah Barat menemukan daya pendorong baru apabila Rene Descartes, bapa falsafah moden, mengisytiharkan : cognito, ergo sum (aku berfikir maka aku wujud), yang membawa maksud bahawa hanya ada satu hakikat yang pasti iaitu akal rasional – hakikat bahawa manusia berfikir, maka segala sesuatu hanya boleh diterima setelah dibenarkan oleh akal rasional itu.

Kajian mengenai liberalisme tidak lengkap tanpa menyentuh kemunculannya yang berakar dalam sejarah pergumulan masyarakat Barat dengan sistem-sistem yang berkuasa pada masa itu. Sejarah kemunculan liberalisme bermula dengan gerakan reformasi (Reformation period) yang antara tokohnya adalah Martin Luther. Gerakan reformasi ini bertujuan menentang autoritarianisme pemerintahan Gereja, menghadkan kekuasaan politk, mempertahankan pemilikan serta menetapkan hak asasi manusia supaya tidak dicabuli.

Liberalisme juga menjadi tunjang kebangkitan Eropah atau zaman Renaissance yang dicatat oleh para sejarawan sebagai zaman penolakan terhadap kekuasaan ecclesiastical (kerohanian) gereja. Harold Laski, dalam bukunya The Rise of European Liberalism, mencatatkan bahawa gerakan reformasi Inggeris (English Reformation) tersebut bertujuan untuk menghapuskan ketuanan dan kekuasaan golongan agama (papal jurisdiction) dan menghapuskan cukai terhadap gereja (clerical tazation). Oleh yang demikian kemunculan liberalisme berkait rapat dengan penentangan terhadap agama dan sistem pemerintahan kuku besi sama ada yang dilakukan oleh golongan agama (gereja) mahupun raja-raja yang memerintah atas nama Tuhan.

Pengaruh para filosof seperti John Locke, Immanual Kant, Adam Snith, Thomas Paine, Benjamin Constant dan ramai lagi, cukup besar dalam pemikiran dan tamadun Barat kerana tamadun Barat hari ini tidak lagi bersandarkan pada agama, sebaliknya bersandarkan kepada falsafah dan sains.

Konsep liberalisme John Locke bersifat teologi kerana masih berpegang kepada hukum alam, di mana menurutnya Tuhan telah memberikan kebebasan kepada manusia untuk mentafsirkan atau menemukan hukum Tuhan dengan akal dan panca indera (empiricism). Oleh kerana Locke juga adalah pengasas empiriscme, maka bagi beliau bukti empiric dan akal rasional adalah kayu pengukur tertinggi dalam kehidupan manusia. Walaupun Locke dikatakan merupakan seorang yang berpegang kepada ajaran agama namun ia menempatkan akal lebih tinggi berbanding wahyu. Bahkan Locke memandang rendah kepada metafizik – termasuk di dalam agamanya. Ini mungkin kerana Locke melihat agama hanya menjadi relevan apabila ia tunduk kepada pentafsiran kajian empiric dan akal rasional. Memang kenyataannya adalah pada pandangan majoriti pemikir Barat, agama akan cenderung menjadi mitos dan legenda, tanpa peranan akal yang bebas dalam mentafsirkan wahyu.

Walaupun secara umumnya perjuangan menegakkan hak asasi manusia menjadi misi utama pemikir-pemikir liberalisme, ideologi ini tidak berhenti setakat itu sahaja tetapi berkembang mengikut peredaran zaman. Pada hari ini di Barat, liberalisme lebih kepada suatu pandangan hidup atau worldview yang dianut oleh masyarakat Barat. Pandangan hidup liberalisme ini menjadikan individualisme sebagai asasnya.

Disamping utilitarianisme, liberalisme klasik telah melahirkan positivisme dan eksistensialisme. Positivisme diperkenalkan oleh Auguste Comte, seorang ahli falsafah Perancis yang menolak sebarang campur tangan agama dan teori-teori metafizik dalam bidang perundangan, social mahupun politik. Bagi pemikir falsafah ini, agama dan metafizik berasaskan kepada dogma dan pernyataan spekulatif. Bahkan positivisme juga menolak pertimbangan nilai dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil. Atas dasar positivisme inilah maka sistem perundangan (positive law)yang berkembang di Barat terpisah daripada nilai-nilai moral. Positivisme ini dikembangkan oleh Bentham, Austin dan Hart untuk membangun falsafah perundangan Barat.

Eksistensialisme ateis yang diciptakan oleh Jean-Paul Satre pergi lebih jauh lagi dengan memberikan manusia kuasa yang berlebihan. Atas dasar “existence precedes essence” (kewujudan mendahului inti pati), Satre menyatakan bahawa tujuan kewujudan manusia ditentukan oleh manusia itu sendiri, oleh yang demikian selari dengan pendahulunya iaitu Nietzche, Tuhan tidak mempunyai apa-apa peranan dalam kehidupan manusia. Menurut falsafah ini, manusia bebas untuk melakukan apa saja yang difikirkan baik untuk dirinya tanpa perlu dipengaruhi serta dibatasi oleh agama, budaya dan pemikiran yang wujud di sekelilingnya. Dalam pemikiran eksistensialisme, “truth is subjectivity” (kebenaran aalah subjektiviti) dan ini tidak jauh berbeza dengan pascamodenisme yang menganut faham relativisme dan nihilisme.

Dapat disimpulkan, dalam konteks masyarakat Barat, setelah sekularisasi dapat berjalan dengan lancar, ideologi liberalisme bertapak dan diterima dengan baik di Barat untuk mencapai modenisasi. Namun demikian, ternyata modenisme tidak memberikan apa yang mereka kehendaki sehingga mereka terpaksa mencari falsafah atau paradigma lain untuk memastikan masyarakat terbuai dengan cita-cita dan idealisme bahawa mereka akan mencapai kesempurnaan.

Liberalisme muncul untuk memperjuangkan hak-hak asasi manusia yang telah ditekan dan ditindas oleh sistem pemerintahan zaman pertengahan. Ia merupakan ideologi yang cuba membebaskan manusia daripada penindasan agama atau lebih spesifik lagi system pemerintah teokratik dan despotik, yang pada masa itu kebetulan dilakukan oleh golongan agama atau golongan yang memerintah atas nama Tuhan. Persoalan yang perlu diteliti adalah : Di manakah letaknya liberalisme dalam fahaman Quranisme?

Kemunculan golongan Quranisme atau Anti-Hadis.

Kemunculan liberalisme di Barat berkait rapat dengan semangat masyarakat Barat untuk mengubah system kehidupan yang ketika itu diwarnai dengan absolutism, pencabulan hak-hak asasi dan penyalahgunaan kuasa gereja. Bermula sebagai falsafah politik dan ekonomi, ia berkembang dan diperluas dalam undang-undang, moral dan seluruh kehidupan Barat. Oleh kerana itu liberalisme telah menjadi ciri khas worldview atau pandangan hidup masyarakat Barat.

Quranisme yang dikenali sebagai gagasan yang menolak Al-Hadis mempunyai premis yang dilatari fahaman liberalisme. Antara tokoh-tokoh mereka seperti Rasyad Khalifah, Ghulam Parvez dan Amin Ahsan Islahi timbul setelah zaman kolonialisme membawa bibit-bibit falsafah Barat dan mengadunkan ke dalam keilmuan tradisi Islam.

Quranists (anti-hadis), disedari atau tidak, telah menjadikan liberalisme sebagai cara hidup dan falsafah yang dipegang. Para ideologi atau pemikir gerakan ini – yang ramai antara mereka mendapat pendidikan di Barat – bertindak mengutamakan akal rasional dan meninggalkan As-Sunnah sebagai kayu ukur. Mereka menjadikan nilai-nilai moden seperti rasionalisme dan hak asasi (menurut perspektif liberalisme) sebagai petunjuk.

Golongan Quranists (anti-hadis) ingin mencapai matlamat mereka dengan menunjukkan kepada khalayak umum bahawa terdapat wajah Islam yang liberal dengan berpandukan kepada pentafsiran liberal terhadap Al-Qur’an. Realitinya, umat Islam yang telah pun bingung dan keliru kini diberikan pilihan untuk menerima satu bentuk Islam yang mudah dan tunduk kepada keinginan manusia moden. Dengan itu, mereka seolah-olah berhasil mewujudkan satu agama baru atau lebih tepat lagi “Islam baru” yang sesuai dengan framework pemikiran mereka dan tentunya selari dengan worldview Barat yang mendominasi masyarakat dunia hari ini. Ringkasnya, Quranists telah menjadikan projek yang mengelirukan dan cuba menghancurkan Islam dari dalam diri umat Islam sendiri.

Dalam tradisi keilmuan Barat, yang lama (tradisi) adalah kenangan pahit yang perlu dilupakan atau diubah untuk kekal relevan pada masa kini. Dalam tradisi keilmuan Islam, tradisi adalah warisan yang amat berharga dan hasil pemikiran yang tajam daripada golonga alim ‘ulama dan cendikiawan terdahulu dalam memahami wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala dan cuba melaksanakannya sebaik mungkin. Semakin rapat hidup para pendahulu dengan zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi waSallam semakin kuat legitimasi pemahaman mereka. Oleh yang demilian, tradisi adalah sesuatu yang mesti dikekalkan.

Quranists mengambil semangat dan nilai-nilai liberalisme berupa kebebasan bersuara, hak asasi manusia, penolakan atas autoriti agama, kesetaraan gender dan sebagainya. Golongan ini lupa bahawa masyarakat Barat menghasilkan falsafah ini dalam konteks tamadun Barat yang mempunyai ciri dan perkembangan sejarah itu tersendiri. Untuk memaksakan idea dan nilai Barat kepada umat Islam adalah tindakan yang tidak bijaksana. Apapun langkah yang kita ambil dalam menanggapi perkembangan ilmu pengetahuan kita perlu terlebih dahulu menilai dan kritis falsafah yang melatarinya, disamping mendalami tradisi keilmuan Islam yang memiliki ciri-ciri dan metodologinya yang tersendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s